Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, October 27, 2009

BUDAYA SABIL

MARI MEMBUDAYAKAN SABIL


Di Malaysia, apabila menyebut perkataan sabil, orang ramai akan memahamkan pegertiannya sebagai perang sabil. Kalau pun tidak sampai kepada peperangan tetapi konotasinya ke arah huru-hara, kematian, kekacauan dan pergaduhan. Hal ini sangat mendukacitakan kerana pengertian sabil di sini dikongkong oleh kefahaman ortodok atau lama yang lebih buruk daripada baiknya.
Jika anda pernah menunaikan fardu haji di tanah suci Mekah dan berziarah ke Madinah, perkataan sabil ini menjadi kebiasaan yang boleh anda dengar di sekitar masjid. Perkataan ini dilaungkan oleh para penderma atau pemberi imfak dan juga orang yang menerima ketika meneriak teman-teman mereka supaya datang menyempurnakan hajat penderma. Mereka akan melaungkan sabil-sabil yang bermaksud bersedekah mengagihkan sama ada barang, wang, makanan, minuman, pakaian atau apa sekalipun yang dihulur atau diberi adalah dalam ertikata sedekah dari pada pemberi yang berhajat itu. Mereka akan berkumpul dan mengambilnya. Tanpa pilih warna kulit dan dari mana asal mereka, penderma akan menghulurkannya. Tentu sekali sedekah mereka khusus untuk saudara seagama, Islam.
Daripada idea itu, Yayasan Sulami bersetuju dan telah merancang untuk melancarkan aktiviti sabil. Yayasan Sulami berencana untuk menjadi orang tengah sebagai pemungut dan pengumpul dan memberi atau mengagih-agihkannya kepada anak-anak yatim dan fakir miskin. Jauh daripada itu Yayasan Sulami bercadang untuk memproses semula barangan yang disabilkan oleh orang ramai supaya boleh dijual murah dan bertukar kepada nilai wang yang dikembalikan atau dimasukkan semula dalam Tabung Yayasan Sulami untuk kegunaan aktivitinya.
Yayasan Sulami yakin aktiviti ini akan berjaya tetapi tidak dapat disegerakan pada masa ini. Ini adalah disebabkan pelan perencanaan dan perancangan walaupun telah ada tetapi buat ketika ini Yayasan Sulami kekurangan tenaga sukarelawan untuk melaksanakannya. Yayasan ini juga tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk menjadi pusat pengumpulan barangan mahupun pakaian yang disabilkan. Yayasan ini sedang berusaha mencari tempat seperti tapak untuk mengumpul dan memproses dan tapak jualan yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti ini.
Idea atau pemikiran seperti ini adalah baik dan perlu disokong dan didokong kerana Yayasan Sulami ingin keluar dari budaya menagih sumber kewangan melalui rayuan derma. Ini adalah kerana dapatan hasil dari derma kadang-kala atau boleh dikatakan tidak berbaloi dengan tenaga yang keluar disamping menjaja maruah kepada yang tidak memahami dan mengerti.
Yayasan Sulami disini ingin menawarkan wadah kebaktian kepada anda sekalian. Anda yang terasa dihati telah dilambai oleh ruh kebajikan dan keinsafan dan ingin menyumbang, silalah menghubungi Yayasan Sulami. Anda mungkin memiliki tapak, tanah, atau rumah yang sesuai tetapi terbiar begitu sahaja. Jadi anda sungguh berbahagia jika harta anda dapat dimanfaatkan demi kepentingan agama. Anda sendiri boleh memantau aktiviti Yayasan Sulami. Yayasan Sulami menjamin ketelusan mengikut syariat Islam.
Marilah kita sama-sama berfikir dan merebut peluang semasa masih berkesempatan ini. Apakah yang boleh kita sabil agar hasil dari sabil kita ini berguna dan dapat membantu mereka yang tidak bernasib baik. Tentu sekali anda tidak akan terfikir bahawa sebagai satu contoh, setokin anda yang baru tetapi berlubang sedikit itu telah tidak berguna dan tidak disukai anda lagi tetapi masih berguna untuk anak-anak yatim memakainya di malam hari untuk mengelak dari kesejukan. Fikir-fikirkanlah.......
Pada suatu hari nanti janganlah terkejut apabila rombongan sabil Yayasan Sulami datang di tempat anda, di rumah anda, di kediaman anda, meneriakkan Sabil, Sabil, Sabil untuk mengumpul dan memenafaatkan pemberian anda yang menyahut seruan sabil. Tetapi harus diingat, sabil Yayasan Sulami bukan untuk jualan bandel untuk perut diri sendiri. Oleh itu bersabillah dengan ikhlas dan bijaksana.
Marilah kita membudayakan amalan sabil cara Malaysia yang dipelopor oleh Yayasan Sulami. SABIL! SABIL! SABIL!
Oleh TSEN